Tuesday, March 4, 2014

Trip to Sydney - Day 1

Akhir bulan januari yang lalu aku bersama abang am serta kak salmah terbang ke sydney bagi menghantar anakanda ku amelia melanjutkan pengajian di sebuah kolej di sydney. Tiket dibeli tidak sampai dua bulan sebelum masa penerbangan.

Awalnya aku tidaklah excited sangat nak pergi sebab masa tu aku sedang sibuk membuat persediaan untuk percutian ke china bersama-sama warga pejabatku. Tapi bila abang kesayanganku dah bertanya aku tidak mampu untuk menolak. Aku merasa aku perlu memberi bantuan dan sokongan moral kepada abang am serta keluarga dengan menemani mereka ke sana. Sekurang2nya aku membantu mengangkat beg2 amelia. Kebetulan masa tu public holiday bagi sambutan tahun baru china. Pejabat ku kena compulsory leave selama 2 hari. dan aku cuma perlu tambah 2 hari lagi untuk cukupkan 7 hari. Kira ok lah...Pejabatku, kalau raya china selalunya memang satu minggu lah bercuti...raya sakan...

Tempahan tiket serta visa dilakukan oleh abang am. Tiket air asia dibeli dengan harga RM1300 termasuk satu hidangan makan tengahari.

Seawal 5 pagi 30 januari kami bertolak ke lcct dengan ssangyong stavic mpv 7-seater (pinjam ku diana punya) dipandu oleh abang am. Beg2 punyalah banyak. Penuh kereta...Amelia bawa 4 beg, macam2 dibawanya, printer, rice cooker, kettle, maggi mee, buku dan macam2 lagi selain baju dan kasut. Masing2 kena carry 2 beg seorang. Sampai di lcct lebihkurang 6 pagi. Lepas menurunkan kami berserta beg2, abang am mencari tempat untuk parkir berdekatan. Satu hari caj RM16 tapi agak jauh sikit dari terminal. Jauh sikit kena jalan balik. Kesian abang am...

Lepas sembahyang subuh di surau lcct kami check in. Masa check in visa aku macam ada problem. Staff kat kaunter cakap visa aku tak update. Aku agak panik dan berpeluh. Abang am pun tak tahu sebab apa. Dia hold dulu aku punya, dia settlekan abang am, kak salmah dan amelia punya. Lepas siap dia beredar keluar, rasanya ke pejabat untuk buat panggilan ke australia embassy. Lepas tu dia datang balik dan kata ok dan proceed. Aku rasa lega...Lepas selesai urusan check in kami bersarapan di restoran marrybrown lcct. Setengah jam kemudian kami bergegas ke departure gate for boarding.

Jadual berlepas sepatutnya pada pukul 9.10 pagi tapi delay selama 15 minit. Penerbangan dari kuala lumpur lcct ke sydney kingsford smith international airport mengambil masa selama 8 jam. Aku membawa bersamaku beg berisi printer dan meletakkannya di ruang cabin luggage. Tempat duduk aku berasingan dengan abang am dan kak salmah. Begitu juga amelia pun terpisah juga. Ini disebabkan tiket dibeli berasingan.

Semua penumpang mendapatkan tempat duduk masing2 dan aku dapati dua tempat duduk disebelahku kosong. Happynya aku...ingat kejap lagi nak ajak amelia datang duduk dekatku. Lepas flight take off, ada dua orang perempuan melayu dalam usia 20an datang bertanya tempat duduk sebelahku. Mereka duduk setelah aku memberi kebenaran. Rupanya ada rakan2 mereka duduk di seat di hadapanku. Mereka datang berkumpulan yang ramai dan destinasi utama mereka adalah ke new zealand. Mereka ke sydney selama 2 hari sahaja sebelum meneruskan perjalanan ke new zealand dengan penerbangan jetstar. Lebih murah kata mereka.

Perjalanan yang lama agak membosankan. Tandas pula tidak putus2 dimasuki orang. Keadaan menjadi sesak bila flight attendant (pramugari pramugara) mula menolak cart (troli) makanan mereka. Ruang laluan yang sempit memang tidak membolehkan kita melepasi mereka. Dah tu kedua2 ruang laluan mereka guna untuk tolak troli secara serentak. Kalau kita hendak ke tandas ketika itu kita kena tunggu hingga mereka selesai mengedar atau menjual makanan mereka kepada penumpang2 yang ramai. Dan mereka mengambil masa yang cukup lama untuk melayan penumpang. Sungguh tak convenient saja kulihat...

Makan tengahari kami adalah rice with green curry. Ianya enak tapi portionnya kurang. Tak lah kenyang sangat. Kira2 2 jam sebelum tiba ke sydney, aku order mamee chef tom yam mee berserta air nescafe panas. Harga untuk mee RM8 dan RM5 untuk nescafe. Jadual ketibaan kami ke sydney adalah pada pukul 5.15 ptg waktu malaysia dan pukul 8.15 malam waktu australia. Jadi kami makan siap2lah sebelum kapalterbang landing. Nanti dah sampai sydney tak tahu pula nak cari makan kat mana.

Bila sampai ke sydney international airport aku sekali lagi mengalami masalah di kaunter imigresen australia. Rupanya abang am tersalah memasukkan tarikh lahirku masa mengisi borang visa online. Patutlah masa kat lcct tadi diorang kata visa aku tak update. Rupanya tarikh lahir di visa tak sama dengan pasport. Nasib baik pihak imigresen australia begitu senang hati memberi kerjasama. Seorang staf imigresen wanita mengarahkan aku mengikutnya ke sebuah bilik berdekatan kaunter. Dia menyuruh aku menunggu di luar bilik sambil dia menuju ke dalam bilik tersebut. Aku dapat melihatnya dari luar dinding cermin sedang mengadap komputer. Dalam 2 minit dia keluar dan senyum padaku sambil berkata everything is done. Aku mengucapkan berbanyak terimakasih padanya kerana memudahkan semua urusan kami.

Selesai urusan imigresen kami melalui pemeriksaan kastam pula. Semasa di dalam flight tadi kami sudah sedia mengisi arrival form yang mengkehendaki kita mengistiharkan barang2 yang dibawa. Kerajaan australia mengawal kemasukan barang2 larangan dan berbahaya. Antara barang yang perlu diisytiharkan adalah:

  • ubat, steroid, porno haram, senjatapi, senjata tajam dan dadah
  • alkohol (lebih 2250ml), rokok (50) atau produk tembakau
  • barang2 yang dibeli di luar autralia dengan nilai lebih AUD900 termasuk hadiah
  • Wang tunai melebihi AUD10,000
  • produk daging, ayam, ikan, makanan laut, telur, tenusu, buah2an dan sayuran
  • produk bijirin, kekacang, tumbuhan, herba tradisional
  • binatang dan produk ternakan

Untuk mengelakkan sebarang kesulitan semasa pemeriksaan kastam, adalah dinasihatkan kita mengisytiharkan sekiranya kita membawa barang2 tersebut.

Kami diarahkan untuk melalui lorong khas kerana di borang kami ada tertera kami membawa produk daging, ayam, ikan, makanan laut, telur, tenusu, buah2an dan sayuran. Kak salmah memang ada membawa sedikit sambal ikan bilis, maggi mee, kek lapis dsb sebagai bekalan untuk amelia. Beg2  kami discan lagi. Kastam australia bongkar habis beg2 yang mereka syak ada barang larangan. Setelah dipegang, dicium dan dibuka satu persatu bungkusan2 tersebut, mereka menyuruh kami beredar. Alhamdulillah... kerana tiada satu pun yang dirampas.

Jam sudah menunjukkan hampir pukul 10 mlm (waktu australia) setelah kami selesai urusan kastam. Suasana di airport sudah lengang. Dari skrin ketibaan pesawat, cuma tinggal satu lagi penerbangan terakhir yang dijadualkan tiba dalam waktu beberapa minit lagi. Begitulah australia...ada waktu kerja, mereka bekerja dan waktu malam mereka rehat sepenuhnya.
selepas selesai pemeriksaan kastam...dah nak keluar
naik teksi ini untuk ke malaysia hall dengan caj AUD80 termasuk surcharge sebab masa melepasi 10 malam. Pemandunya seorang warga india berugama islam...agak peramah dan komunikasinya cukup baik. Dia menghantar kami hingga ke pintu malaysia hall termasuk menunggu sehingga pintu dibuka oleh penghuni di malaysia hall.
suasana tenang di malaysia hall ketika kami tiba...agak sunyi kerana ketika ini musim cuti semester, ramai pelajar balik bercuti.
bilik aku dengan amelia, bilik no 19 di tingkat 1...agak luas dengan wardrobe serta cermin yang besar. Rate untuk satu malam AUD20/pax (untuk 2 malam pertama), AUD30/nite/pax untuk malam ke 3 dan seterusnya. Deposit bilik AUD100/pax, deposit access key AUD100/pax dan room service charge AUD15/pax. Toiletries & towel tidak disediakan. Tapi sekiranya kita memerlukan towel kita boleh mendapatkan dari pejabat malaysia hall dengan caj AUD2. Bilik ini tak ada air-con, yang ada cuma satu kipas berdiri. Ketika ini musim panas, kipas yang disediakan agak kurang memadai...nasib baik boleh buka tingkap. Terasa juga kedinginan dari angin yang sentiasa bertiup menerjah melalui tingkap.

Lepas mandi, solat qadha untuk waktu zohor dan asar yang tertinggal masa dalam flight, kemudian solat jamak/qasar untuk waktu maghrib dan isya'. Setelah selesai semuanya hampir pukul 1 pagi, kami pun tidur dengan lenanya.