Sunday, October 9, 2011

Ketupat palas

Kebiasaan setiap kali hari raya ketupat palas ini menjadi hidangan istimewa kami. Di sini aku ingin berkongsi bagaimana cara menyediakan ketupat palas yang cukup popular di negeri kelahiranku. Resipi dan cara membuatnya aku perolehi dari ibu.


Bahan-bahan :
3 kilo beras pulut
1 kilo santan
garam secukup rasa
5 helai daun pandan
daun palas (lebih kurang 15 batang)



Cara membuatnya :
Campurkan santan dengan sedikit air. Sukatan santan haruslah sesuai dengan beras pulut. Jangan terlalu cair kerana jika terlalu cair akan menyebabkan pulut menjadi lembik. Ukuran santan seelok-eloknya lebih kurang satu ruas ukuran jari kita.

Masak santan tersebut, masukkan garam dan daun pandan. Santan mestilah dikacau sentiasa agar tidak naik minyak. Setelah santan mendidih masukkan beras pulut yang sudah dibasuh. Kacau sehingga kering santannya. Tutupkan api dapur walaupun kelihatanya pulut tu cuma setengah masak. Biarkan sejuk sikit.


Kemudian bungkus pulut menggunakan daun palas. Setelah dibungkus, simpulkan dengan kemas daun palas agar beras tidak terkeluar. Potong hujung daun palas yang sudah disimpul tadi. Kemudian rebuslah ketupat tadi. Untuk merebus, air dimasukkan sama parasnya dengan ketupat tadi. Masa diambil untuk merebus lebih kurang sejam atau sehingga air rebusan kering.

Ketupat pulut enak dimakan bersama dengan kari daging, rendang atau serunding.

Saturday, October 8, 2011

Keberkatan doa ibubapa

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِا
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Seorang anak hanya mendapat kedudukan sebagai anak yang soleh jika mereka mentaati dan memuliakan ibubapa. Kita sebagai anak apabila sudah berjaya dan memperolehi pelbagai kesenangan hidup tidak harus sama sekali melupakan segala jerih penderitaan dan pengorbanan ibubapa, sebaliknya pada masa beginilah sewajarnya kita berbakti untuk memberi kesenangan hidup kepada mereka serta menjaga mereka umpama menatang minyak yang penuh.

Anak yang soleh akan berusaha menyenangkan hati ibubapanya dan mengharapkan keredaan dan keberkatan hidup daripada Allah. Mereka tahu bahawa setinggi mana pun kedudukan, pangkat atau kemewahan semua itu tidak sama nilainya dengan kasih sayang terhadap ibubapa. Selain itu, setiap doa dari ibubapa amatlah mustajap. Maka anak yang soleh akan sentiasa mengharapkan berkat doa ibubapa dalam menjalani kehidupan. Dan sewajarnya kita merebut peluang semasa ibubapa kita masih hidup untuk berbakti kepada mereka di samping mengharapkan keberkatan doa.

Doa ibubapa akan menjamin keselamatan dan ketenteraman dalam kehidupan. Allah akan melindungi diri anak yang berbakti dengan kehidupan aman dan sejahtera. Cahaya hidayah dan ketakwaan akan sentiasa melimpahi jiwa anak. Di samping itu doa ibubapa menjadi sumber kepada pembinaan kekuatan jiwa anak dan akan mempengaruhi sikap dan tingkah laku anak dalam menjalani kehidupan.

Derhaka kepada ibubapa bermakna seseorang itu telah menderhakai Allah. Begitulah besar dan mulianya darjat ibubapa.