Friday, April 24, 2009

Sejarah Lot 16 - Sebuah Catatan


Segalanya bermula pada suatu pagi subuh yang bening ketika aku tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki bas ekspres.

Ketika aku sampai di depan pagar, hatiku berdetik kenapa ibu mengunci pintu pagar menyebabkan aku tidak dapat memasuki ke kawasan rumah. Sebelum ini rumah yang ditinggalkan oleh arwah bapa ini tidak pernah berpintu pagar pun. Sesiapapun bebas untuk keluar dan masuk. Tidak mengapalah, mungkin ada sebab ibu menguncinya. Aku terus saja memberi salam serta memanggil ibu agar dibukakan pintu pagar. Kedudukan rumah yang sangat hampir dengan jalan tidak menyukarkan aku melaungkan nama ibu. Lantas aku terdengar tingkap ‘naco’ dibuka sambil ibu menjawap salam ku. Ibu yang ketika itu dalam pakaian sembahyang menyuruh aku melangkah dawai pagar berduri (orang kedah panggil kawat besi, orang putih panggil barb wire) kerana ibu kata dia tidak ada menyimpan kunci. Hatiku ketika itu begitu sayu mengingatkan aku terpaksa menyelinap seperti pencuri di rumahku sendiri. Tambah rasa sebak mengingati bagaimana ibu berseorangan ke surau setiap hari terpaksa melangkah kawat besi tersebut.

Sebaik melangkah kaki ke dalam rumah terus aku bersalam dan mencium tangan ibu. Aku lihat wajah ibu agak pucat tak bermaya. Mukanya agak cengkung. Sebelum ini ibu ada beritahu yang dia susah untuk tidur dan kurang selera makan. Sudah banyak rawatan doktor dan ubat yang dimakan namun keadaannya tak berubah. Kesian aku melihat keadaan ibu.

Ibu ketika itu sudah selesai solat subuh menyuruhku segera melaksanakannya pula memandangkan waktu subuh sudah hampir berlalu.

Adik Mar yang merupakan adik bongsuku baru selesai solat datang bersalam denganku. Ketika itu aku terdengar ibu mengejut adik Nan. Memang agak liat Nan untuk bangun, maklumlah semalam dia keletihan berkerja hingga lewat malam. Nan bekerja di Restoran KFC Alor Setar. Masa itu kami setiap hari dapat makan ayam goreng Kentucky percuma. Kalau bernasib baik dapat lagi kupon percuma untuk ditebus bila balik ke KL. Adik kepada Nan, Kasim masih belajar di UPM, Chendering, Terengganu. Dia pasti pulang ke kampong bila cuti semester.

Sambil menolong ibu dan Mar menyediakan sarapan aku mula bertanya ibu berkenaan pintu pagar yang berkunci tadi. Kata ibu mak che ah dan anak menantunya yang punya angkara. Ibu pada mulanya agak keberatan hendak menceritakan perkara itu. Namun aku tetap mendesak memandangkan masalah yang ibu alami sejak kepergian arwah bapa kerahmatullah pada 8 November 1990 serta kematian arwah nenek dan pak teh yang merupakan suami mak che ah pada tahun berikutnya. Bermula dari situlah kehidupan ibu sehari-hari mula dihimpit tekanan dari mak che ah. Segalanya dipendam dan ditelan sendiri oleh ibu. Banyak perkara yang dilakukan oleh mak che ah yang menyinggung perasaan ibu. Mak che ah mungkin merasakan ibu sudah tidak ada hak untuk tinggal di atas tanah milik warisnya yang entah siapa. Daftar di Pejabat Tanah menunjukkan tanah yang kami duduki itu dimiliki oleh berpuluh orang yang mana orang-orang tersebut tidak lagi dapat dikesan, mungkin sudah pun meninggal dunia. Mak che ah hanya membayar premium tahunannya sahaja.

Ketika arwah nenek, pak teh dan bapa masih hidup, nenek ada menyatakan yang tanah itu diwariskan kepada tiga orang anaknya iaitu bapa, pak andak dan mak che ah. Tapi apalah kuasa arwah nenek hendak mewariskan tanah itu sedangkan nama nenek sendiri tidak terdapat di daftar Pejabat Tanah. Hanya setakat cakap mulut saja. Selagi arwah bapa ada tak apalah tapi bila dia dah tiada beginilah jadinya.

Selepas selesai sarapan aku pun bergegas ke rumah mak che ah bersebelahan rumahku. Harapanku untuk mendapatkan pertimbangan dari mak che ah agar dia memberi kunci pintu pagar buat ibuku. Harapan tinggal harapan saja bila mak che ah melayanku endah tak endah saja. Aku tak perlu lagi menunggu lama untuk merayu pada dia. Aku mengerti sangat bila orang tidak suka dan bila orang tidak sudi.

Aku berlalu pulang ke rumah memaklumkan kepada ibu kegagalan aku mendapat simpati mak che ah yang kini kami gelarnya “orang sebelah”. Ibu kelihatan agak kecewa. Aku bertekad yang perkara ini harus diselesaikan segera. Ketika itu orang pertama yang terlintas di fikiran ku untuk ku ceritakan masalah ini adalah Kak Om. Kak Om orang yang paling dekat dengan aku kerana aku tinggal bersamanya di KL. Aku lantas menghubungi kak Om di KL yang pada hari itu bercuti. Lepas tu kak Om telefon kak Idah dan kak Imah, kakak sulongku.

Plot pertama ini kami berempatlah yang mulakan. Rupanya semua kakak-kakak ku sudah menyedari perkara ini cuma masing-masing tak mahu meributkan suasana. Tapi bila masalah ini melibatkan ibu, mahu atau tidak perkara ini harus diselesaikan segera. Ibu kelihatan sedikit bersemangat bila segala masalahnya diluahkan padaku.

Selepas dari hari itu keadaan tidak berubah bila mak che ah dan anak-anaknya yang dulu begitu rapat dan mesra dengan kami tidak langsung mahu berlembut. Beberapa bulan selepas itu pintu pagar itu kekal terkunci. Kunci hanya boleh dibuka oleh mak che ah, anak dan menantunya saja. Kami adik beradik yang berkenderaan terpaksa menggunakan pintu pagar kedua yang lebih jauh dari rumah kami. Yang peliknya pintu pagar itu tak pula dikunci. Memang busuk hati mak che ah.

Suatu pagi yang malang, ketika itu kami bercuti di kampong. Seingat aku, kak Om, abang aku Man dan keluarganya dari Lenggong ada bersama. Aku terdengar bunyi riuh rendah di luar. Aku terdengar suara abg Man, kak Om dan mak che ah bertengkar. Rupa-rupanya abg Man pada pagi itu nekad mengangkat pintu pagar berseorangan sambil diperhatikan oleh isterinya Su dan anak-anaknya yang masih kecil. Abg Man memang berhasil melakukannya. Tapi malangnya tindakannya itu dari jauh diperhatikan oleh mak che ah lantas dia menerpa keluar memarahi abg Man. Dia mula mencabar kesabaran abg Man yang kononnya tidak ada hak untuk bertindak sedemikian rupa. Antara ayat yang dikeluarkan oleh mak che ah adalah “hang sapa??” terhadap abg Man. Kak Om yang sedang menyapu sampah di ruang hadapan rumah lantas keluar cuba meleraikan suasana tapi sia-sia. Mak che ah langsung tidak mahu beralah. Begitu keras perempuan tu. Apalah yang diinginkan lagi dari hidup ini aku pun tidak tahu.

Selang beberapa hari selepas kejadian itu, mak che ah dan anak-anak serta menantunya telah bertindak lebih keras dengan mendirikan sebatang tiang konkrit betul-betul di tengah-tengah pintu pagar itu. Laluan yang dahulunya digunakan untuk kami keluar dan masuk kini tidak boleh dilalui lagi. Ketika kejadian itu, berlaku kekecohan hingga terpaksa kami memanggil pihak pak ngah iaitu abang kepada arwah bapa. Pak ngah cuba menjadi orang tengah namun sia-sia. Mak che ah mungkin merasakan dialah yang paling berkuasa ke atas tanah itu.

Selepas kejadian tersebut kami amat kesal dengan apa yang mak che ah lakukan. Dia tidak punya sedikit pun timbang rasa apatah lagi kami anak-anak saudaranya sendiri.

Akhirnya kami membuat keputusan untuk keluar saja dari kampong itu. Tidak ada apapun yang boleh dipertahankan kerana kami sememangnya tidak punya hak ke atas tanah itu. Tanah itu bukan kepunyaan kami. Bukan juga kepunyaan mutlak mak che ah. Biarlah mak che ah dengan anak-anak dan menantunya nak menguasai tanah itu. Ketika itu kami memang sudah tidak mampu untuk bertahan lagi di situ. Suasana cukup tegang dan menyakitkan perasaan. Ibu sendiri pun tidak lagi sanggup bertahan. Dari saat itu ibu dan Mar bergilir-gilir menumpang di rumah kak Idah atau rumah kak Imah atau rumah abang Dir. Dalam pada itu Mar baru saja diterima masuk ke UTM untuk melanjutkan pengajian Sarjana Kejuruteraan Elektrik. Kami bersama-sama menghantar Mar ke UTM Skudai Johor menyusul selepas adik Izah yang mengikuti kursus Diploma Senibina seperti ku juga dulu. Syukur alhamdulillah adik-adikku semua berjaya.

Usaha untuk mencari tapak rumah baru dipergiatkan oleh kak Imah, kak Idah dan suaminya abang Afis dan abang Dir. Berkat usaha serta doa segalanya menjadi cepat dan mudah. Allah memberi jalan kepada yang berusaha dan berdoa kepadaNya. Ada pihak yang menawarkan satu lot tanah di Lot 16, Kampung Hilir tidak jauh dari rumah kami. Tanpa berlengah kak Imah yang menjadi tulang belakang dalam usaha ini bersama-sama kak Idah dan abang Afis serta ibu meninjau kawasan tanah tersebut. Dengan kedudukan kawasan tanah yang berdekatan dengan Masjid Kepala Batas serta harga yang ditawarkan agak berpatutan iaitu sekitar RM 17 ribu, kakak-kakak, abang ipar serta ibu bersepakat untuk membeli tanah tersebut.

Beberapa hari saja selepas itu dengan bantuan kewangan dari kak Om yang membiayai sepenuhnya kos tanah terbabit, tanah itu sah menjadi milik ibu. Syukur kepada Allah segalanya berjalan lancar. Ibu amat gembira sekali dan tidak sabar untuk berpindah ke situ.

Persiapan dibuat untuk memindahkan rumah lama kami ke tapak baru. Aku menyadiakan pelan rumah baru yang diubahsuai dengan menggunakan struktur rumah lama. Ibu mendapat kerjasama dari Kak Ah untuk memindahkan sementara barang-barang ke rumah arwah ibunya yang kosong.

Kemuncaknya adalah pada pagi 9 Ogos 1995 iaitu hari yang paling bersejarah bagi seluruh keluarga kami bila rumah yang didirikan dengan titik peluh serta tulang empat kerat arwah bapa dan rumah yang berpuluh tahun menyaksikan kami membesar dengan segala macam kepayahan terpaksa dirobohkan. Kalau arwah bapa masih ada tentu keadaan tidak menjadi sebegitu. Maafkan kami pak…kerana tidak berdaya mempertahankannya.

Satu persatu bumbung zink dikeluarkan, kemudian rangka, dinding papan, alang dan tiang. Ramai jiran-jiran yang datang membantu, tok teh mah, tok tam piah, mak mah, kak mah, kak nah, kak ani, lah, saadiah dan ramai lagi dari kaum lelaki yang aku tak berapa pasti nama-nama mereka. Boleh dikatakan semua jiran-jiran yang datang pasti akan menitiskan air mata melihat bagaimana sejarah kehidupan keluarga kami di atas tanah itu akan berakhir pada hari tersebut. Pak Tam yang merupakan adik ibu dan isterinya mak Tam adalah orang yang paling kami hargai dan sanjungi kerana mereka paling banyak memberi bantuan, sokongan dan semangat terutama pada ibu. Terimakasih buat kedua-duanya dan terimakasih buat jiran-jiran semua. Hanya Allah yang bisa membalas segala jasa dan pertolongan kalian.

Sebelum tengahari semuanya selesai dipunggah dan diangkut. Yang tinggal cuma serpihan dinding, tiang dan tangga konkrit.

Berakhirnya satu sejarah di rumah bernombor KH139, Kampong Hilir. Kami tinggalkan kenangan pahit dan manis waktu kecil kami di situ bersama arwah bapa dengan seribu rasa sayu dan hiba. Terkilan juga rasa di hati melihat pokok-pokok rambutan yang ditanam oleh arwah bapa yang tidak putus-putus berbuah bila tiba musimnya. Selepas dari detik ini kami tidak dapat lagi merasa kemanisan dan keenakan buah rambutan tersebut. Namun perasaan itu terpaksa dilepaskan demi kesinambungan kehidupan di tempat baru iaitu di Lot 16. Hati kami terutama ibu teramat gembira dan lega bila dapat melangkah keluar dari tanah yang banyak mencalar perasaannya. Memang suratan takdir yang sudah ditentukan oleh Yang Maha Esa bahawa di situ bukan tempat untuk kami.

Malam itu kami beramai-ramai tidur di rumah kak Idah. Pada keesokan harinya bermula kerja-kerja pembinaan di Lot 16 dengan bantuan pak tam sebagai penyelaras. Kos untuk pembinaan dan barang-barang dianggarkan bernilai sekitar RM 50 ribu. Kami adik-beradik bersama-sama mengeluarkan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing.

Sebuah catatan oleh
Kusuri
8April’09

Friday, April 3, 2009

Salam Buat Semua

Assalamualaikum buat semua yang dikasihi,

Terlebih dulu saya ingin mengucap syukur kehadrat Allah Subhanawataal kerana dengan izinnya saya dapat merealisasikan kewujudan blog ini.

Adapun tujuan blog ini adalah untuk kita sama-sama berkongsi cerita, maklumat dan sebagainya agar dapat memberi manafaat buat semua. Juga diharap agar dapat merapatkan silatulrahim sesama kita.

Akhir sekali saya mengalu-alukan sebarang komen, bahan cerita, gambar atau sebagainya untuk kita sama-sama nikmati.

Sekian, terimakasih.

kusuri